Saturday 30 June 2012

Merancang Harta Bahagian 4


Wakaf


Wakaf dari segi bahasa merupakan satu penahanan manakala dari sudut teknikalnya wakaf merupakan pemberian yang tidak boleh dibatalkan, yang dibuat secara nyata atau secara tersirat untuk tujuan kebajikan bagi mendapatkan pahala daripada ALLAH.

Hadith berikut dipetik daripada Sahih al Bukhari (Jilid 4 Bab.29. Ms. 27) mencatatkan authoriti membuat wakaf.
"Diriwayatkan oleh Ibn Umar. Ketika Umar mendapat sebidang tanah di Khaibar (melalui peperangan), dia telah bertanya kepada Rasulullah, Aku dapat satu tanah di Khaibar, aku belum pernah dapat tanah yang lebih berharga daripada tanah tersebut, apakah nasihatmu kepadaku? Maka sabda Rasulullah "Kalau kamu mahu, simpanlah ia sebagai wakaf untuk digunakan bagi tujuan kebajikan." Maka, Saidina Umar pun memberi tanah tersebut untuk kebajikan kepada fakir, kaum kerabat, hamba abdi, tetamu-tetamu dan orang yang bermusafir dengan syarat tanah tersebut tidak dijual, tidak dihibah, dan tidak diwarisi. Tidak menjadi kesalahan bagi orang yang mentadbirnya untuk memakan dan memberi makan kepada orang lain daripada hasilnya sekadar keperluannya dengan syarat dia tidak menjadikan tanah tersebut hartanya"

JENIS - JENIS WAKAF


  • Wakaf Ahli ( Keluarga / khusus / khas) atau dikenali juga sebagai waqaf zurri

Wakaf Khas
Waqaf yang menjadi milik kepada mereka yang ditentukan dalam konteks waqaf. Dalam waqaf ini mereka sajalah yang berhak untuk mendapat faedah dan kegunaan waqaf tesebut. Waqaf ini biasanya ditujukan kepada kaum keluarga sendiri, alim ulama dan orang – orang tertentu.

  • Wakaf Khairi (umum)

Waqaf umum ialah waqaf yang bersabit denagn nas al-Quran dan hadith, ia bertujuan untuk mendapat pahala dari Allah, beramal Jariah untuk fakir miskin dan juga untuk berjihad ke jalan Allah. Penerimanya adalah terdiri dari golongan fakir miskin atau badan kebajikan.
Waqaf jenis ini tidak memerlukan kepada akaun penerimaan bahkan ia terus menjadi milik Allah. Harta waqaf ini akan dikendalikan oleh pemerintah dan dimanfaatkan kepada saluran-saluran kebajikan.
Waqaf jenis ini juga dapat menikmati secara meluas oleh masyarakat dan sebahagiannya dapat merupakan salah satu sumber pembiayaan kegiatan pembinaan ummah samada dalam bidang sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

  • Wakaf Mustarak ( Campuran antara Ahli dan Khairi)

Waqaf ini merupakan campuran antara waqaf ahli yang khusus dan waqaf khairi yang umum. Misalnya waqaf tanah pertanian yang sebahagian dari hasilnya ditujukan untuk anak-anak cucu sementara sebahagian lagi untuk tujuan umum.
Setengah daripada waqaf jenis ini telah
menimbulkan masalah perpecahan harta yang melahirkan kerosakan dan lain-lain. Oleh itu setiap bahagian waqaf tersebut akan mengambil kedudukan serta hukum khusus samada sebagai waqaf ahli atau khairi.



RUKUN WAKAF


1) Pewakaf
2) Barang yang diwakafkan
3) Penerima wakaf
4) Lafaz wakaf

SYARAT-SYARAT SAH WAKAF

  • Tidak boleh diberi hakmilik

Tanah wakaf tidak boleh dijual, dihibah dan dipusakai tetapi jika perlu, pemegang kuasa seperti qadi, wakil ataupun sultan berhak memberi milik/ kuasa kepada sesiapa sahaja sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf.

  • Hakmilik Allah s.w.t.

Sesuatu tanah wakaf yang telah sempurna dan sah di sisi Syarac tidak boleh lagi diganggu gugat atau dipindahkan atau dimusnahkan kerana tanah wakaf tersebut telah berpindah milik daripada pewakaf kepada hakmilik Allah s.w.t.

  • Berkekalan

Wakaf dianggaap sah kerana ianya berkekalan, biarpun setelah keluarga tiada. Walau bagaimanapun, faedah wakaf itu akan berpindah pula kepada keluarga yang terdekat.

  • Pemegang Amanah

Mereka itu mestilah mempunyai akhlak dan pekerti yang tinggi serta baik budi bahasanya dan berkelayakan atau berkeahlian untuk dilantik sebagai wakil termasuk menjalankan setiap arahan yang terdapat di dalam suratcara wakaf dan tidak boleh diingkari.

KESIMPULAN KESELURUHAN

Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda menambah ilmu pengetahuan dalam perancangan harta pusaka Islam disamping menjamin keharmonian keluarga. Merancang harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidup lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan, sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.
Sesungguhnya Islam telah menyusun, mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. Antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.

Terima kasih.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Green i Financial Technology Sdn Bhd


Website: www.greenifinancial.com
Email: greenifintech@gmail.com
Tel. : +603-89120293 / 010-2174860
Fax : +603-89203870



Sumber : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak


No comments:

Post a Comment