Thursday 14 June 2012

Merancang Harta Bahagian 2

Merancang Harta Melalui Instrumen Faraid


Sistem faraid adalah merupakan antara instrumen perancangan harta 
yang terbaik dalam merangka perancangan harta setelah berlaku kematian. 
Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan. Menurut istilah syarak, Faraid 
adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah 
ditetapkan di bawah hukum syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak 
(seperti  anak, isteri, suami, ibu,  bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan 
kepada ahli waris adalah baki  harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala 
pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk 
agama (seperti zakat, nazar, dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan 
menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”. (Riwayat Ibu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Apakah aspek-aspek penting yang perlu diketahui untuk mendalami ilmu faraid?


1.Mengetahui cabang-cabang nasab

2.Mengetahui siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris.

3.Mengetahui kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris

4.Mengetahui kaedah atau cara mengira (ilmu matematik dasar)




Kadar Asas Pembahagian Faraid:
  • Suami – ½: Jika simati (isteri) tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu dan ke bawah; ¼: Jika simati (isteri) mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu dan ke bawah
  • Isteri – ¼: Jika simati (suami) tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu dan ke bawah; 1/8: Jika simati (suami) mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu dan ke bawah
  • Bapa – 1/6: Jika simati mempunyai anak (lelaki/perempuan) atau cucu dan ke bawah; 1/6 + asobah: Jika simati tidak mempunyai anak (lelaki/perempuan)
  • Ibu – 1/6: Jika simati mempunyai anak, @ cucu perempuan daripada anak lelaki ke bawah @ mempunyai beberapa orang saudara (lelaki/perempuan); 1/3 dari keseluruhan harta: Jika simati mempunyai seorang saudara lelaki atau perempuan sahaja dan tiada anak ke bawah; 1/3 dari baki harta: Jika simati meninggalkan salah seorang suami @ isteri dan bapa tanpa waris lain
  • Anak Perempuan – 1/2: Jika seorang; 2/3: Jika dua orang atau lebih dibahagi sama rata; Asabah bilghairi: jika si mati mempunyai anak (lelaki/pempuan) 2:1
  • Anak Lelaki – 100% daripada baki (Asabah) sekiranya seorang; Dikongsi sama rata daripada baki (Asabah) sekiranya lebih daripada seorang; Asabah bilghairi: jika si mati mempunyai anak (lelaki/pempuan) 2:1

Harta Yang Dikira Sebagai Harta Pusaka:

  • Semua barang atau benda yang ditinggalkan oleh si mati, yang diperolehi semasa hayatnya secara halal melalui proses jualbeli, pusaka, hibah, wasiat, hadiah, atau sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada simati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang diterbitkan daripada harta simati.
  • KWSP
  • Pencen yang belum sempat ditunaikan oleh simati semasa hayatnya.
  • Barang yang terbit selepas mati seseorang dari usaha si mati semasa hayatnya seperti perniagaan,saham,takaful dll.

Harta Yang TIDAK Dikira Sebagai Harta Pusaka:

  • Harta yang telah diberikan si mati kepada seseorang semasa hayatnya.
  • Harta yang telah dijual oleh simati.
  • Harta yang telah diwakafkan,
  • Harta yang dipegang amanah,
  • Khairat kematian,
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian,
  • Faedah kematian/Amaun tambahan KWSP
  • Imbuhan,pampasan & saguhati,
  • Pencen terbitan,
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969

Terima kasih kerana membaca...
Nantikan sambungan topik Merancang Harta Bahagian 3......

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Green i Financial Technology Sdn Bhd

Email: greenifintech@gmail.com
Tel. : +603-89120293 / 010-2174860
Fax : +603-89203870


Sumber rujukan: Esyariah





No comments:

Post a Comment