Friday 8 June 2012

Merancang Harta Bahagian 1


Pendahuluan


ASPEK PENGURUSAN HARTA MENURUT ISLAM

Merancang harta dalam Islam bukan sahaja terhad pada kaedah dan tatacara 
menguruskan perbelanjaan individu atau  keluarga bagi kepentingan hidup di 
dunia sahaja, bahkan merangkumi bagaimana cara seseorang menguruskan 
harta dengan cara membuat perancangan  yang teratur untuk kesejahteraan 
hidup di dunia dan di akhirat.

Dari Abi Bazrah al-Aslami katanya:

Rasulullah SAW bersabda, tidak akan melangkah kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanyakan mengenai umurnya pada apa ia habiskan, mengenai ilmunya pada apa ia lakukan, mengenai hartanya darimana ianya diperolehi dan ke mana ianya dibelanjakan dan mengenai tubuhnya pada apa ianya dihabiskan.


Berdasarkan hadis ini, merancang harta merupakan perkara yang amat
penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Seseorang Muslim pada hari
kiamat tidak akan terlepas dari dipersoalkan mengenai harta, dari mana ianya
perolehi dan ke mana ianya belanjakan. Sehubungan itu, setiap Muslim
sewajarnya sentiasa prihatin untuk merancang dan menguruskan harta yang
dimiliki agar harta yang diperolehi  dan dimiliki dapat membawa kesejahteraan
hidup di dunia dan di akhirat.


Harta dalam Islam dapat diklasifikasikan kepada beberapa bentuk:
a. Harta alih dan harta tak alih.
b. Harta yang boleh di tetapkan kadarnya dan harta yang tidak boleh
 ditetapkan kadarnya.
c. Harta yang serupa (al-mithli) dan harta yang seharga (al-qimi).


Perancangan harta yang baik dan sempurna amat dititikberatkan untuk
menjamin objektif berikut;
a. Memastikan kehendak dan keperluan  individu serta perancangan masa
depan keluarga dapat dilaksanakan untuk kepentingan dunia dan akhirat.
b. Memastikan harta bergerak cergas dan berkembang di dalam pelbagai
sektor ekonomi.
c. Memperluas skop peredaran kekayaan agar ia turut dapat dinikmati oleh
pelbagai lapisan masyarakat.
d. Menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga dan memastikan harta benda terpelihara.
e. Boleh mengelakkan perselisihan faham antara  ahli keluarga dan harta benda akan diwarisi oleh waris dengan sempurna.

Islam telah menentukan beberapa instrumen perancangan harta yang boleh menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat. Antara instrumen tersebut ialah wasiat, zakat, faraid, hibah dan wakaf.



Merancang Harta Melalui Instrumen Wasiat




Wasiat dari segi bahasa maksudnya adalah sambung, manakala dari segi istilah pula maksudnya pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu ianya hanya terlaksana selepas pewasiat meninggal dunia.

Hukum menulis wasiat adalah wajib sekiranya kita berhutang samada dengan Allah swt atau manusia.

Sunat sekiranya kita mempunyai niat untuk beramal jariah atau berhasrat untuk memastikan kebajikan anak-anak, isteri dan pewaris kita agar tidak terbiar atau dizalimi.

Diriwayatkan dari Amir bin Saad dari ayahnya  bahawa dia pernah berkata dalam sakitnya kepada Rasulullah SAW:


Wahai Rasulullah sesungguhnya harta ku banyak dan tidak ada yang diwarisi harta ini selain dari anak ku yang perempuan. Apakah boleh aku wasiatkan kesemua harta ku itu?.  Rasulullah menjawab, `tidak’. Dia bertanya lagi, kalau 2/3 bagaimana?.  Baginda menjawab,`tidak’. Aku bertanya lagi, bagaimana kalau 1/2?  Baginda menjawab `tidak’. Aku bertanya lagi, bagaimana kalau 1/3. Baginda menjawab, ya boleh, 1/3 itu pun banyak. Sesungguhnya meninggalkan waris dalam keadaan kaya lebih baik dari meninggalkannya  dalam kemiskinan meminta-minta kepada manusia.”



Menurut prinsip Wasiat Islam, pembahagian sehingga 1/3 daripada aset bersih simati boleh diwasiatkan kepada bukan waris atau waris yang terdinding. Wasiat dalam islam dilihat sebagai suatu ibadah dan juga tanggungjawab sosial yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada perkembangan sosio ekonomi umat Islam iaitu sedekah jariah. Amalan ini merupakan amalan yang kekal ganjaran pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW.

Dari Abi Huhairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:


Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.



Akibat Tiada Perancangan Harta / Berwasiat


  • Berlaku persengketaan keluarga.
  • Harta tidak dibahagi dengan adil dan betul sehingga pewaris terdedah kepada memakan harta yang batil yang boleh melahirkan zuriat yang rosak akhlak.
  • Harta dibolot oleh seorang penama / pewaris sahaja.
  • Harta sulit untuk dimiliki oleh pewaris kerana proses penyelesaian memakan masa yang lama.
  • Harta dibekukan.
  • Roh si mati terseksa.



Terima kasih kerana membaca...
Nantikan sambungan topik Merancang Harta Bahagian 2......

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Green i Financial Technology Sdn Bhd


Website: www.greenifinancial.com
Email: greenifintech@gmail.com
Tel. : +603-89120293 / 010-2174860
Fax : +603-89203870






Sumber: www.islam.gov.my





No comments:

Post a Comment